December 31, 2007

RMK9: Memadam api kemarahan rakyat?

Pendahuluan

Satu tindakan paling tidak popular semenjak negara di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi ialah menaikkan harga minyak sebanyak 30 sen seliter pada 28 Februari 2006 lepas.

Kenaikan minyak bukan perkara baru. Sejak tahun 2000 sudah 11 kali harga minyak naik. Namun kenaikan antara 2000 hingga 2004 ( 7 kali) melibatkan hanya beberapa sen sahaja seliter, rakyat nampaknya menerima alasan kenaikan minyak dunia, walaupun kurang menyenanginya.

Namun sejak 2005 berlaku kenaikan secara berturut-turut (Mac, Mei dan Julai) yang setiap kenaikan sebanyak 10 sen seliter bagi petrol dan 20 sen bagi diesel, iaitu ketika harga minyak dunia melebihi US 60 dollar setong dan minyak di Malaysia naik menjadi RM1.62 seliter, diesel RM1.28 dan LPG RM1.45 bagi satu kg.

Rakyat merungut kerana bukan saja kenaikan harga bahan bakar secara bertimpa-timpa, tetapi juga kenaikan harga barangan dan perkhidmatan antara 20% hingga 30%. Mereka mula mempersoalkan jika pihak kerajaan mendapat cukai bersih dari Petronas lebih dari RM30 bilion setahun, tidakkah wajar sebahagian kecil dari keuntungan ini ditampung bagi kenaikan harga bahan bakar bagi kepentingan rakyat. Walau betapapun rakyat terpaksa menanggung beban akibat kenaikan bertimpa-timpa.

Berdasarkan pengalaman 2005, bahawa tidak banyak yang dapat dibuat dan disanggah rakyat, maka rangkuman tiga kenaikan 2005 disatukan sebagai satu kenaikan sekaligus. Kenaikan petrol-diesel-Lpg pada 28 Februari 2006 secara mendadak dan berganda amat mengejutkan rakyat.

Kekejutan ini ialah kerana tiada berlakunya lonjakan mutakhir harga minyak dunia, sebaliknya berlaku lebihan pengeluaran yang menurunkan harga minyak dunia dari US63 dollar satu tong kepada US 61dollar. Kenaikan pula adalah di luar dari jangkaan dan tidak pernah berlaku sedemikian hingga menyebabkan harga petrol naik menjadi RM1.92 seliter, diesel RM1.58 dan LPG RM 1.75 bagi satu kg, kenaikan dibuat secara spekulatif dan pukal berdasarkan kenaikan 2005.

Ertinya rakyat dihukum terlebih dahulu dengan kenaikan bagi yang belum pasti, sebaliknya penurunan sedang berlaku.

Tidak banyak hujah dikemukakan oleh kerajaan, melainkan kerana kononnya harga minyak dunia naik (bercanggah dengan bukti) dan menegaskan hujah klise, bahawa walaupun kerajaan menaikkan harga, namun ianya masih termurah di rantai Asean, kecuali Brunei, juga bertujuan membendung pertambahan subsidi yang perlu ditanggung kerajaan. Menurut Perdana Menteri:

``It had no choice but to cut fuel subsidies to rationalize the prices of petroleum products in the country.`` Menurutnya lagi, `` While the 30 sen increase would bring some difficulty to the people, it would on the other hand, conserve the resource, prevent wastage and stop the commodity from being smuggled out to neighbouring countries.`` (The Star, March 6, 2006:1).

Pihak kerajaan tidak menyatakan keuntungan tahunan yang diperolehi oleh Petronas dan bagaimana perolehan itu dibelanjakan. Yang selalu diutarakan ialah perbandingan harga dengan Negara-negara jiran. Kerajaan juga nampaknya yakin bahawa berdasarkan pengalaman yang lepas rakyat Malaysia yang `baik hati` tidak membantah keras terhadap kenaikan minyak.

Keyakinan ini terbukti bahawa kerajaan tidak sedikit pun risau dengan keadaan di Negara-negara jiran yang tidak stabil, bahkan pengumuman kenaikan dibuat semasa memuncaknya penentangan rakyat Thailand bagi menjatuhkan Perdana Menteri Thaksin Shinawatra kerana dianggap rasuah dan penentangan rakyat Filipina bagi menurunkan Presiden Gloria Arroyo Macapagal yang dianggap menyeleweng.

Di luar jangkaan

Jangkaan kerajaan kali ini meleset. Reaksi rakyat digambarkan oleh NST:

``Malaysians reacted with shock, frustration and anger to having to pay 30 sen more for every litre of petrol and diesel. Unexpected was the ferocity of sentiment on the ground a day after the biggest single petrol price hike. The common man, already feeling the pinch of the rising cost of living, spewed a litany of complaints and grouses. Consumer groups and trade unions warned the fuel price hike would set off a chain of reaction across the board``. (NST, March 1, 2006: 1).

Berikutan kenaikan itu bas operator dan lori mengenakan bayaran 10% surcharge, gas masak ditambah harga RM3.00 bagi satu balang seberat 12 kg., restoran-restoran juga mengumumkan kenaikan menu-menu, peladang juga menaikkan harga keluaran ladang dan bas sekolah tidak ketinggalan menaikkan tambang (The Star, March 1, 2006: 1).

Selain dari apa yang dilaporkan di atas tentulah rangkaian kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain turut sama meningkat.

Sebagai reaksi terhadap kenaikan harga minyak, Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang Presiden PAS menyifatkan kenaikan harga minyak secara berganda sebagai tidak wajar berdasarkan Malaysia adalah merupakan Negara pengeluar minyak. Setiausaha Agung DAP Saudara Lim Guan Eng mengkondem keputusan kerajaan dan menganggapnya sebagai tidak bertanggungjawab tanpa mengambil kira beban rakyat yang terpaksa menanggung kenaikan harga barang-barang.

Manakala pihak FOMCA melahirkan kebimbangan kenaikan harga minyak membawa kepada rangkaian kenaikan pengangkutan, logistik, makanan, minuman dan bahan industri binaan (The Sun, March, 1, 2006: 3).

Kerajaan dilihat sengaja menaikkan harga minyak tanpa hujah kukuh dan semata-mata bimbang berdasarkan kenaikan tahun lepas sebanyak tiga kali dan kali ini dirangkum serentak dengan kenaikan 30 sen tanpa mengambil kira keuntungan yang didapati Petronas yang semakin meningkat.

Menurut statistik bahawa pada tahun 2005 cukai untung bersih kerajaan dari Petronas ialah RM35 billion. Bagi tahun 2006 untung bersih dijangka RM40 billion. Untuk menampung subsidi RM4.4 billion hasil dari kenaikan 30 sen seliter adalah kecil. (Kerajaan menurunkan subsidi tahun 2006 dari RM16 billion kepada RM12 billion). Jika tidak diturunkan subsidi lebihan keuntungan pada kerajaan masih besar iaitu RM24 billion.

Jadi kenaikan yang dibuat lebih mementingkan keuntungan dan tidak mengambil kira penderitaan rakyat. Adalah dijangka kenaikan harga bahan bakar sebanyak 30 sen itu ialah bagi menampung peruntukan Rancangan Malaysia Kesembilan yang memerlukan peruntukan sebanyak RM2,000 billion itu, atau sekurang-kurang peruntukan bagi RMK 9 tidak dihakis oleh subsidi bahan bakar.

Atas dasar tidak wajar dinaikkan harga minyak, maka persatuan-persatuan pekerja, parti-parti politik pembangkang dan badan-badan di dalam NGO diketuai Trade Union Kongres Malaysia (MTUC) memohon kerajaan mengkaji balik kenaikan harga minyak.

Persatuan-persatuan dan NGO yang berjumlah sebanyak 16 buah dengan diketuai MTUC bertindak menghantar memorandum ditandatangani mereka kepada pihak pemerintah.

Menurut Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamud, ``The fuel price hike was hurting more than 40 per cent of the population , especially those earning below RM1,500 a month``, menurutnya lagi, ``Fuel prices have been increased six times since 2004, with a 40 per cent hike for petrol and 102 per cent for diesel. Worker can’t even get a 40 per cent wage increase in three years``. (NST, March 10, 2006: 18).

Menurut Syed Shahir, ``Our stand is there is nothing wrong with giving subsidy … it is the government’s duty to help its rakyat``. (The Star, March 10, 2006: 4).

MTUC, parti-parti politik dan NGO-NGO mengadakan perhimpunan-perhimpunan di KLCC membantah kenaikan minyak. Perhimpunan diadakan berturut minggu selepas sembahyang Jumaat. Di samping bantahan MTUC juga mencadangkan agar ditambah RM150 cola bulanan bagi pekerja bagi menampung kos akibat dari kenaikan harga minyak (NST, March 7, 2006: 6).

Berikutan dari bantahan persatuan-persatuan pekerja, parti-parti politik pembangkang, NGO-NGO dan rintihan rakyat jelata, sedikit menyedarkan kerajaan di atas kerakusan tindakan yang membelakangkan rasional dan kemanusiaan. Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melahirkan reaksi:

``I know you’re angry``, admitting he was aware that people were angry over the Government’s decision to increase fuel prices.`` (The Star, March 11, 2006: 1).

Memadam api kemarahan

Kerajaan tidak menjangka reaksi rakyat berbeza dari reaksi kenaikan minyak yang dilakukan sebelum dari kenaikan 28 Februari. Hujah-hujah klisye nampaknya tidak lagi dapat diterima rakyat. Apa yang dikatakan harga minyak dunia makin meningkat, sedang keadaan sebenarnya tidak, jaminan tidak akan menaikkan harga minyak lagi tahun ini juga tidak boleh diterima kerana kenaikan berganda untuk setahun telah berlaku, perbandingan-perbandingan harga minyak dengan harga-harga di negara jiran tidak bermakna, Malaysia sebagai pengeluar minyak sepatutnya tidak melakukan kenaikan harga minyak secara melampau.

Kerajaan tidak pula menunjukkan contoh yang baik, kerana sedang rakyat menderita dengan kenaikan harga minyak, pihak Petronas dan kumpulan elit berpesta dengan Formula One secara membazir dengan jumlah perbelanjaan besar yang sengaja tidak diumumkan. Bagi meredakan kemarahan rakyat perancangan cara acahan dari kenaikan harga minyak, iaitu sebanyak RM4.4 billion dijelaskan.

Menurut Perdana Menteri bahawa kerajaan akan memulangkan balik jumlah tersebut kepada rakyat, iaitu untuk diguna bagi meningkatkan pengangkutan awam yang lebih tertumpu di Lembah Kelang seperti menambahbaik sistem integrasi pengangkutan awam termasuk bas, sistem transit aliran ringan (LRT), monorel dan komuter. Perdana Menteri juga menekankan bahawa subsidi minyak akan terus kekal.

Manakala Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak berhujah, jika kenaikan tidak dilakukan, akan menghakiskan peruntukan Rancangan Malaysia ke 9 kerana digunakan untuk subsidi (NST, March 2, 2006: 1).

Beliau juga menekankan bahawa ``Era minyak murah sudah berakhir (BH, 17 Mac, 2006: 2). Sebab itu terimalah kenaikan minyak dan jangan banyak dipersoal.

Menteri Pelajaran, Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn membuat janji bahawa subsidi minyak disalur kepada sekolah luar Bandar. Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi pula berlembut, bahawa bas-bas tua dibenarkan beroperasi, bercanggah dengan arahan sebelumnya (tidak melebihi 20 tahun usia bagi bas sekolah), janji dibuat bahawa tol tidak akan dinaikkan tahun ini, manakala TNB yang bercadang untuk menaikkan tarifnya diminta menangguhkan cadangan.

Manakala Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna menyatakan harga barang naik mulai 1 April hanya spekulasi. Demikianlah alasan yang dicari-cari untuk mewajarkan kenaikan minyak.

Kaedah pujuk dan ugut

Walau apa pun huraian dan alasan untuk mewajarkan kenaikan minyak, kegelisahan rakyat tidak dapat dipendam. Kenaikan minyak mengecilkan pendapatan, membebankan tanggungan dan menggelisahkan kehidupan. Suara protes kedengaran dari segala pihak, walaupun media meminggirkan suara-suara sedemikian.

Para aktivis membawa isu kenaikan minyak di dalam ucapan-ucapan mereka. Kain rentang dan spanduk mulai diangkat dilokasi-lokasi yang menjadi tumpuan mata orang ramai, bahkan risalah, banner dan `flyers` bergerak tersebar. Perhimpunan membantah berlaku.

Semuanya merupakan gugatan terhadap pemerintah yang bertanggungjawab menaikkan harga minyak. Sekurang-kurangnya pemerintah terasa tidak selesa dengan tindakan mereka yang di luar jangka.

Usaha memadamkan penentangan dan mengendurkan kemarahan dilakukan oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri. Perdana Menteri menyatakan bahawa 4.4 juta ahli BN bantu kerajaan perjelaskan rasional kenaikan harga minyak kepada rakyat (BH, 6 Mac 2006: 1). Satu jumlah yang besar dan diragui kebenaran berlaku. Kemudiannya secara psikologi untuk meredakan kemarahan rakyat melalui media dilaporkan:

``Perdana Menteri puas hati rakyat terima kenaikan harga minyak``. (UM 9 Mac 2006: 2), pada hal keadaan sebenarnya adalah di sebaliknya.

TPM juga menyarankan agar rakyat mengubah gaya hidup dengan belanja berhemah, bercermat, tidak membazir dan mengutamakan perbelanjaan penting (UM, 2 Mac, 2006: 1). Beliau juga menggesa pengguna harus guna hak, dengan membeli barang daripada peniaga yang kekalkan harga (BH,4 Mac 2006:3).

Pada peringkat menteri, usaha ketara dilakukan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasai. Cara yang diguna oleh mereka ialah ialah kaedah memujuk dan mengugut melalu media cetak dan letronik yang memang dimonopoli oleh kerajaan.

Sebagai contoh cara memujuk, seperti disarankan oleh Menteri Perdagangan Di Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Dato' Mohd Shafie Apdal, antaranya dengan memantau kenaikan harga barangan. Beliau juga menggalakkan lebih banyak kedai harga patut diwujudkan (NST, March 4, 2006: 6). Rakyat juga digesa jangan beli jika harga barang melambung (BM 5 Mac, 2006: 15).

Di dalam nada yang mengugut pula beliau mengatakan kepada peniaga-peniaga yang menaikkan harga, Peniaga degil hilang lesen, kerajaan bertindak tegas jika masih naikkan harga selepas tindakan kompaun (BH, 3 Mac 220: 1).

Beliau juga mengingatkan: ``Studies show that fuel makes up 0.1 per cent of floor milling production cost. The glocus syrup industry’s 5.1 per cent is the highest. There’s no problem if they want to increase the price reasonably, for example by about 0.1 per cent. But if they are taking advantage of the situation to make a profit, stern action will be taken against them.`` (NST, March 3, 2006: 1).

Mohd Shafie juga bertindak mengadakan operasi besar-besaran secara bersama antara Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan dua persatuan Pengguna bagi memburu terhadap peniaga yang melanggar etika perniagaan, khususnya yang menaikkan harga sewenang-wenang (BH, 7 Mac, 2006:1).

Manakala bagi Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Mohamed Khaled Nordin memperingatkan sebarang permohonan kenaikan tambang dan caj tambahan tidak akan dilayan (UM, 2 Mac 2006: 3). Beliau juga mau agar kesemua 231 buah syarikat bas membuat pengakuan terbuka sama ada turut mengenakan tambahan surcharge 10% dan sanggup menerima hukuman atau lesennya diserahkan kepada pihak lain (The Sun, March 14, 2006: 1).

Pihak media juga memainkan peranan di dalam usaha mengendurkan kemarahan rakyat. Media letronak langsung bersifat berpihak. Mereka yang diinterview dan diberi ruang ialah pihak yang tidak mengecam pemerintah. Saranan-saranan dari mereka seperti perlu berjimat cermat, membeli perkara yang perlu, perlu membanding-bandingkan harga untuk mendapat harga terendah, mengurangkan makan di luar dari dua kali kepada sekali seminggu, membeli bahan untuk dimasak sendiri dan sebagainya.

Pendeknya para peniaga benar-benar dijadikan kambing hitam. Jika sudah minyak naik 30 sen seliter tidakkah memberi kesan pada harga barangan dan perkhidmatan pengangkutan. Tidakkah ada ruang munasabah bagi sedikit kenaikan ?

Adakah wajar harga minyak dinaikkan kerajaan dan peniaga dan pengusaha diarah bertahan hatta mengalami kerugian ?

Pihak akhbar menampilkan pendapat dari kalangan ekonomis, misalnya, kenaikan inflasi hanya sementara, kuasa pasaran akan stabilkan harga barangan (BH, 2 Mac, 2006: B1). Tapi dari temuramah yang dibuat terhadap orang ramai jelas betapa peritnya kehidupan rakyat. Kenaikan harga minyak membakar poket mereka dan membocorkan kewangan.

Mereka terpaksa memotong perbelanjaan harian, membeli lauk untuk dibawa pulang, makan dirumah yang dapat mengurangkan perbelanjaan, mengurangkan shopping, mengurangkan penggunaan kereta dengan menaiki motosikal atau berjalan kaki, membuat giliran penggunaan kereta dan menggunakan pengangkutan awam (The Star, March, 7, 2006: N4).

Dalam usaha meredakan kemarahan rakyat peringkat mutakhir untuk menenggelamkan isu kenaikan minyak kerajaan menonjolkan isu bio diesel yang dilancarkan oleh Perdana Menteri sebagai sumber tenaga alternatif pada masa akan datang. Penurunan harga kenderaan juga dilakukan agar rakyat melupakan soal kenaikan harga minyak. Dengan ini dijangka sedikit sebanyak mengendurkan isu kenaikan minyak.

Hilang toleransi

Di dalam menghadapi isu bantahan terhadap kenaikan harga minyak ini, pada peringkat permulaan kelihatan kerajaan bersifat toleran, tunjuk perasaan diadakan di pekarangan Petronas tidak menghadapi gangguan dari pihak polis, tapi sikap ini bertukar kepada sedikit kekerasan apabila pada minggu berikutnya mereka disurai dengan water canon dan pada minggu berikutnya pula berlaku penangkapan. Rayuan-rayuan rakyat setakat ini tidak didengari.

Pihak kerajaan nampaknya tidak berganjak dan tidak akan menarik balik atau mengurangkan kenaikan harga minyak. Oleh kerana penentangan berterusan, pihak kerajaan nampaknya mulai memandang serius. Penentangan-penentangan yang berlaku di Negara-negara jiran dan beberapa Negara lain ditakuti mempengaruhi keadaan di Negara ini.

Mutakhir pihak berkuasa akan membawa perkara tersebut di dalam perbincangan pada peringkat kabinet. Adalah dijangka tindakan yang lebih keras akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dianggap menggugat kerajaan.

Walau apa pun tindakan menaikkan harga minyak secara mendadak dan berganda pada kali ini memberi pengajaran kepada kerajaan. Walaupun kenaikan ini dipertahankan demi maruah, tapi dijangka kenaikan tanpa sebab kukuh, mendadak dan berganda tidak akan dilakukan pada masa akan datang.

Namun bagi pihak aktivis, persatuan-persatuan pekerja dan NGO-NGO dan rakyat yang mengalami keperitan kenaikan harga minyak dan barang-barang tidak mudah dipadamkan dengan pujukan dan ugutan.

RMK 9: Senjata memadamkan api kemarahan

Dalam keadaan sekarang sesuatu yang amat wajar dibantah dan didengar seperti isu kenaikan harga minyak di luar dari kemunasabahan nampaknya kehilangan ruang. Pihak kerajaan bertegas dengan pendirian dan suara pembangkang tersisih, manakala perbahasan mengenai kenaikan harga minyak di parlimen tidak dibincangkan ke tahap yang diharapkan.

Isu kenaikan minyak tidak akan dibiarkan oleh kerajaan akan terus menyala, selain dari isu ini akan dibincangkan dalam kabinet dan tindakan yang akan diambil, kerajaan akan menggunakan senjata ampuh mereka, iaitu dengan menggembar-gemburkan RMK 9 yang akan menenggelamkan isu kenaikan minyak.

Kita berharap pihak kesatuan, NGO, parti politik dan rakyat tidak patah semangat di dalam membela rakyat yang tersepit dan terhimpit akibat dari kenaikan harga minyak dan bahan bakar. Jadikan isu ini sebagai bahan yang terus menghangatkan kesedaran rakyat yang mampu mencetuskan perubahan.

Sekian.

Bangi,

30 Safar 1427

No comments:

Post a Comment