December 31, 2007

Muktamar dan pemilihan: Satu sorotan

Pendahuluan

Muktamar Pas kali ke 53 di Kota Bharu, Kelantan dari 1-3 Jun 2007 merupakan peristiwa politik penting dan mendebarkan bagi pendukung-pendukung Pas dan tentulah diikuti oleh parti-parti lawan, terutama dari Umno dan pimpinan-pimpinannya serta dibuat sorotan oleh media-media yang dikuasai mereka.

Mereka tentulah mahu tahu siapakah saf kepimpinan Pas dipilih bakal menerajui. Apakah isu dan pendekatan bakal mereka depani.

Pemilihan dwi-tahunan adalah proses biasa menurut perlembagaan parti dan pergi dan datang pimpinan adalah kewajaran bagi mengisi kekosongan dan menjayakan harapan.

Cuma timbulnya ketegangan dan debaran, terutama bagi mereka yang terlibat untuk dipilih dan kepentingan yang diharap pemilih, pendukung dan juga masyarakat menjadikan isu pemilihan hangat dan mendebarkan.

Debaran yang paling tinggi ialah pada peringkat pemilihan Timbalan Presiden dan Naib-naib Presiden.

Penggolongan dan Penglabelan

Berhubung dengan pemilihan ini dari awal Mursyidul Am Pas Yang Berhormat Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz menekankan bahawa semua pihak di dalam Pas adalah penting, mereka yang berkelayakan wajar dipilih tanpa mengira dari golongan mana mereka. Sebenarnya tidak timbul penggolongan dan penglabelan tentang mereka. Pihak media sengaja membuat spekulasi dan pendekatan yang menjadikan perwakilan dan yang mengikuti perkembangan terpengaruh dan terikut-ikut dengannya. Media mengkelompok dan melabelkan pemilihan kepimpinan Pas kepada dua kelompok yang bertentangan. Ada yang menyebutnya golongan ulama dan professional, konservatif dan `young turks`, konservatif dan moderate, ulama orthodox dan professional progresif, `old guards` dan `young turks, veteran dan muda, dan `ultra konservatif dan `mainstream`.

Semua pengkelompokan bertentangan di atas memaksudkan ada dua kumpulan di dalam Pas yang kononnya sedang berentap dan berebut pengaruh, iaitu golongan tua yang lebih kental dengan entiti keagamaan dengan golongan muda yang lebih terbuka pandangan. Tetapi penggolongan dan penglabelan yang paling popular digunakan ialah `golongan ulama dan Professional. Contoh bagi mereka yang amat ketara ialah perebutan jawatan Timbalan Presiden di antara Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang mempertahankan jawatan dengan Yang Berhormat Datuk Harun Taib dari golongan ulama dan merupakan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat bagi mempastikan penerusan kepimpinan di tangan ulama.

Pengelompokan kepada ulama dan professional khususnya dalam Pas ini lebih bersifat imej, bukannya substen, boleh dipersoalkan dan tidak mutlak. Misalnya YB Datuk Harun Taib dikelompokkan ke dalam golongan ulama kerana latar pendidikannya dari Madinah dan Mesir, tetapi apa kurangnya dari segi pendidikan keagamaan yang dicapai oleh Ustaz Nasharuddin yang mendapat pendidikan di Jordan dan UIA, bahkan pernah menjadi pensyarah di dalam bidang Undang-undang Keislaman di UIA dan UKM. Beliau amat layak untuk dikategorikan sebagai ulama. Apa yang dilihat, dikategori dan dilabelkan dengan ulama bagi Datuk Harun dan professional bagi Ustaz Nasaruddin ialah penilaian dari segi luar yang lebih kepada imej, penampilan, perwatakan, pakaian dan pembawaan, bukan dari segi substan. Dalam kata lain Ustaz Nasaruddin lebih dari mampu dilihat dari segi imej sebagai ulama jika beliau membawa imej, penampilan, pakaian dan pembawaan keulamaan dari awal dan berterusan.

Contoh kebalikan dari ini ada dari kalangan yang terpilih ke AJK Pusat berlatarbelakangkan pendidikan dan berprofession di dalam bidang pendidikan dan pernah mengajar di Fakulti Pendidikan di universiti tempatan yang jelas beliau seorang professional, tetapi dikategorikan sebagai kelompok ulama dan menenggelamkan keprofessionalannya kerana entiti luaran. Puan Hajjah Wan Hasrina Timbalan Ketua Muslimat Pas Pusat lulusan bidang Sains dari UKM dan seorang guru sebagai profession dilihat dari golongan ulama kerana lebih dilihat dari segi penampilan. Banyak contoh-contoh yang lain yang bersifat `cross border` dari segi imej yang tidak mutlak ini boleh ditampilkan. Di dalam hal ini persoalan imej (termasuk di bawahnya penampilan, perwatakan, pakaian dan pembawaan) walaupun dilihat sebagai biasa, tetapi menjadi penting dari segi perkiraan. Lantaran itu timbul usaha `pembetulan kembali` kepimpinan kepada landasan asal. Dalam maksud dalam pemilihan muktamar ke 51 lepas yang juga di Kota Bharu, dilihat gelombang golongan professional terlampau kuat sehingga jawatan Timbalan Presiden, ketiga-tiga Naib Presiden dan sebahagian besar dari AJK Pusat didominasi oleh golongan professional. Ini menggugat kedudukan, imej dan identiti ulama di dalam parti, maka sewajarnya ianya perlu diperbetulkan.

Pertembungan Imej?

Menelusuri pandangan di atas, dapatlah dikatakan pihak media berjaya mencipta batas imej bagi pemilihan di dalam muktamar Pas 2007 atau lebih dari itu, apakakah pendukung-pendukung Pas selama ini juga lebih dipengaruhi imej dari substan ? Pihak yang mempertahankan imej ulama mau identiti ulama menjadi tonggak perwatakan dan tidak sewajarnya turun kepada taraf awam. Ideal ulama diibaratkan cahaya yang menarik khalayak mengelilingi dan mengikuti. Manakala imej bagi yang disifatkan `professional` dilihat sebagai cara memperwatakkan lahiri diri seperti orang awam, turun di tengah mereka, bersama khalayak, merasai apa yang mereka rasa, membela mereka, mudah mendekati dan didekati dan dalam masa yang sama menarik mereka ke arah kebaikan dan kemanfaatan bersama. Bukan saja setakat menampilkan imej, tetapi juga dari segi approach dan penawaran. Ini apa yang dikatakan sebagai `rebranding` dan `repackaging`.

Dari satu segi media nampaknya berjaya memperlihatkan kegelisahan pada satu pihak, bahawa imej ulama yang mendominasi imej Pas akan terhakis dan lebih dibimbangi, jika pembawa imej professional kelak berada pada peringkat pimpinan puncak akan mengubah langsung imej peringkat tertinggi yang selama ini didominasi oleh imej ulama. Lantas alasan tambahan timbul, bahawa pimpinan no. 2 parti masih muda, seharusnya ia melalui pendedahan yang lebih lama pada jawatan Setiausaha Agung dahulu. Juga ditimbulkan pembelian bangunan baru sebagai Pejabat Pas Pusat di Jalan Raja Laut sebagai hasil dari repackaging dan rebranding itu sebagai membebankan ahli-ahli. Tetapi apakah semua ini merupakan alasan dan hujah yang kukuh ?

Pandangan yang mengkategorikan kelas ulama dan professional terbawa-bawa kepada cara melihat pemilihan Naib-naib Presiden yang dikatakan memerlukan kepada pembetulan itu, dimaksudkan ketiga-tiga jawatan yang dikatakan didominasi kalangan professional itu perlu diperbetulkan dan perlu dibawa kembali ke pangkuan ulama. Akibat penglabelan sedemikian menyebabkan salah seorang Naib Presiden, iaitu Datuk Dr. Hassan Ali menarik diri dari mempertahankan kedudukannya sebagai Naib Presiden. Namun walaupun lima orang yang menawarkan diri untuk bertanding, kita melihat pemegang jawatan Naib Presiden yang lama yang dikategorikan sebagai professional itu tetap terpilih, iaitu Yang Berhormat Datuk Husam Musa dan Saudara Mohamad Sabu, manakala kerusi yang dikosongkan oleh Datuk Dr. Hassan Ali dipenuhi oleh Ustaz Ahmad Awang.

Pandangan yang mengkelaskan calon-calon kepada ulama dan professional juga terbawa kepada melihat mereka yang diberi mandate menduduki kerusi AJK Pas Pusat yang dikatakan berjaya diperbaiki dengan dikatakan bahawa 10 daripada yang diberi mandate tersebut adalah dari kalangan `ulama, manakala lapan sahaja adalah dari kalangan professional. Manakala bagi Timbalan pemuda, iaitu Ustaz Nasruddin Tantawi dilihat sebagai mewakili ulama`. Ketua Pemuda iaitu Yang Berhormat Sdr. Salahuddin Ayob menang tanpa bertanding dikira sebagai professional.

Hakikat dan Realiti

Usaha melabelkan perwakilan dan pimpinan Pas kepada kelompok seperti ulama dan professional boleh dikatakan berjaya dan tertanam di dalam minda kalangan ahli-ahli Pas sendiri dan sukar untuk dibasmikan, ianya sebagai realiti melihatkan pada perwatakan, penampilan dan pembawaan ahli-ahli Pas sendiri. Dari satu segi ianya kurang baik dan boleh memecahbelahkan perpaduan jamaah dan parti. Namun begitu melihat kepada perwakilan dan pola pemilihan yang dilakukan oleh para perwakilan mereka tidak terpengaruh dengan gembar-gembur media yang mempertajamkan antara apa yang dikatakan golongan ulama dan professional, juga termasuk kempen-kempen yang diterima melalui SMS. Para perwakilan adalah bijaksana dalam menentukan pilihan, bahkan pemilihan bukan ditentukan oleh perwakilan, tetapi telah diputuskan di dalam mesyuarat agung kawasan terlebih dahulu. Mereka membuat pilihan berdasrkan apa yang telah diputuskan.

Jika kita teliti pada mereka yang terpilih baik pada peringkat Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden, Timbalan dan Naib pemuda, Ketua muslimat dan Timbalan dan ahli-ahli jawatankuasa yang memenangi pilihan, maka kemenangan mereka dipilih oleh para perwakilan berdasarkan kemampuan dan rekod kerja yang telah dilakukan selama ini, bukan atas dasar pertimbangan mereka dari kalangan ulama atau professional. Tidak siapa dapat menafikan sejak dua tahun lepas Ustaz Nasharuddin diberi mandate menjadi Timbalan Presiden banyak perubahan dan impak pada parti berlaku dan interaksi dengan luar dari parti termasuk membawa imej Pas ke tengah kota dengan pembelian bangunan Pas di Jalan Raja Laut itu. Perwakilan tidak bersedia untuk mengubahkan pemilihan, semata-mata kerana maukan imej ulama, maka apa yang dicapai terganggu.

Bagi pemilihan Naib-naib Presiden tidak siapa menafikan ketokohan kepimpinan Yang Berhormat Datuk Husam Musa, baik pada peringkat pimpinan negeri dan juga pada peringkat parti. Di samping kerja-kerjanya yang dilihat berjalan dengan baik, beliau banyak mencurahkan idea yang bernas bagi kemajuan parti. Sebab itu beliau kekal sebagai calon yang mendapat undi tertinggi bagi Naib Presiden, manakala Saudara Mohamad Sabu dilihat mempunyai peranan yang besar di dalam memperkukuhkan parti dan seorang pemimpin yang mempunyai daya tarikan yang tinggi di dalam menyampaikan ceramah dan beliau adalah merupakan aset yang penting bagi parti.

Manakala Ustaz Ahmad Awang dipilih bukan atas dasar ulamanya, tetapi atas kelayakan dan ketokohannya sebagai Bekas YDP Persatuan Ulama Malaysia dan berkemampuan di dalam mengendalikan portfolio penerangan yang dipegang dalam parti selama ini. Kelayakan yang sedemikian juga dapat dilihat pada pimpinan baru dan muda bagi Timbalan dan Naib Pemuda dan juga Ketua Muslimat, Timbalan dan Naibnya. Perkiraan ulama dan professional adalah secara kebetulan dan bukan sebagai perancangan. Pendek kata ia merupakan pemilihan yang bijak dan tepat.

Berhubung dengan keputusan pemilihan ini Yang Berhormat Tuan Guru Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang Presiden Pas menegaskan dalam sidang akhbarnya di Kota Bharu berikut dari keputusan pemilihan bahawa hasil pemilihan menepiskan tafsiran negatif. Pemilihan mencerminkan satu gabungan yang mantap dari berbagai-bagai bidang. Ia menafikan berlakunya pertembungan antara golongan ulama dan professional sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak media.

Dinamika

Bagi mereka yang meletakkan harapan yang tinggi terhadap pemilihan adalah merupakan satu beban! Tetapi bagi yang bekerja dan melihatnya sebagai amanah akan meneruskan tugasnya seperti biasa sama ada terpilih atau tidak. Manakala ada yang melihat pertandingan bagi pemilihan bukan saja membebankan, tetapi menimbulkan berbagai perkara negatif seperti pelabelan, tuduhan, perpecahan dan merenggangkan hubungan persaudaraan sehingga ada yang mencadangkan agar pemilihan dibuat hanya secara syura sahaja ! Namun adakah ianya menyelesaikan masalah ? Syura di sini lebih bersifat ditunjuk secara kompromi kepada sesiapa yang layak dari segi kepimpinan, jawatan dan kedudukan. Cara yang sedemikian mungkin boleh diselesaikan di dalam jamaah yang kecil, tetapi tidak bagi jamaah yang ramai. Penyelesaian di dalam kelompok yang kecil ini juga tidak terlepas segi kesan dan implikasi.

Berhubung dengan konsep syura ini yang merujuk kepada ayat al-Qur`an yang bermaksud:

Dan segala urusan mereka itu diputuskan dengan secara bermesyuarat (al-Shura, 42: 38)

dan ayat yang bermaksud:

Hendaklah mereka itu bermesyuarat bagi sesuatu urusan (Ali Imran, 3: 159)

ianya hendaklah difahami dalam erti kata yang luas. Berhubung dengan kaedah mesyuarat ini Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di dalam bukunya yang berjudul Sirah Nabawiyyah (2006), bahawa kaedah bermesyuarat di dalam al-Qur`an itu adalah secara prinsip, tetapi dapat diolah secara detail, panduan dapat diikut dari cara Nabi bermesyuarat, bahkan apabila ada dua orang bermusafir Nabi mengarahkan supaya dilantik Amir (Ketua) yang mengendalikan perbincangan dan keputusan mesti dipatuhi bersama. Bagi jumlah dan kumpulan yang ramai Tuan Guru berpendapat kaedah mengundi adalah merupakan juga kaedah bermesyuarat. Beliau tidak bersetuju dan menyanggah pendapat setengah pihak yang pilihanraya sebagai tidak Islamik ! Pendapat ini menurut Tuan Guru suatu kenyataan yang lahir dari sikap gopoh, tidak boleh melihat sesuatu yang baru lantas mereka menolaknya atas alasan tidak wujud di zaman Nabi s.a.w.Kata Tuan Guru:

``Dalam urusan politik mengikut sistem moden, bagi mendapatkan suatu keputusan muktamad di kalangan rakyat, maka sistem pilihanraya telah diperkenalkan supaya setiap individu dapat menyatakan pendirian mereka,`` selanjutnya, ``Sesungguhnya pilihanraya itu juga adalah satu kaedah bermesyuarat, jika ahli mesyuarat itu tidak begitu ramai sudah tentu ia dapat dilakukan dalam suatu majlis yang terhad. Segala permasalahan boleh dibahas bersama, dan kemudiannya pendapat ahli mesyuarat boleh disimpul dengan mengangkat tangan atau dengan menggunakan kertas undi. Tetapi apabila pendapat rakyat dalam sesebuah Negara yang penduduknya berpuluh juta , tidak mungkin ia boleh diadakan dalam suatu majlis. Bagaimana orang yang mengatur mesyuarat itu hendak memperolehi pendapat ahli mesyuarat sama ada mereka setuju atau sebaliknya ? Justeru itu sistem pilihanraya itu diwujudkan sebagai suatu kaedah mesyuarat bagi mencapai satu keputusan, di mana semua orang dapat menyertainya dengan menyatakan pendirian mereka melalui kertas undi yang disediakan.`` (Sirah Nabawiyyah, 2006: 15-16).

Dalam kata lain kaedah bermesyuarat berbagai-bagai. Bagi kelompok kecil keputusan boleh diambil secara persetujuan lisan atau angkat tangan, tetapi bagi mesyuarat seperti muktamar yang perwakilan berjumlah 1,125 orang dari 170 Pas Kawasan mewakili ahli lebih dari 800,000 orang pemilihan secara mengundi melalui kertas masih tetap releven dan paling sesuai dan dapat mengatasi kekecohan dan rasa tidak puashati ahli. Adalah dikhuatiri jika pemilihan dibuat secara tunjuk boleh menyebabkan salah pilih, kronisme, nepotisme dan lobi. Pemilihan yang diadakan bagi setiap dua tahun sekali baik pada peringkat cawangan, kawasan maupun muktamar menggerakkan daya dinamika bagi pemimpin yang dipilih atau yang mau dipilih untuk mereka bekerja dan menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada mereka. Melalui pilihanraya secara berperaturan dapat digantikan yang berundur, menyaring mereka yang kurang berfungsi dan melantik mereka yang layak pada tempat masing-masing.

Memperluaskan Fungsi Pemilihan

Adalah difikirkan, jika pada peringkat cawangan, kawasan dan pusat pemimpin dipilih melalui pemilihan secara pilihanraya, maka adalah lebih elok pemilihan pemimpin pada peringkat negeri baik dari Pesuruhjaya, timbalan-timbalan, ahli Exco dan ajk-ajk tertentu dipilih melalui pilihanraya pada ijtimak negeri. Pemilihan sekali bagi dua tahun. Dengan itu mesyuarat terdiri dari peringkat Dewan Harian yang dipilih melalui pilihanraya termasuk Wakil Dewan Ulama dan mesyuarat perhubungan negeri yang terdiri dari EXCO yang dipilih melalui mesyuarat Ijtimak negeri dan ketua-ketua yang dipilih dari kawasan-kawasan di dalam negeri termasuk Wakil Dewan Ulama. Dengan itu memperlihatkan setiap ahli adalah dilantik melalui pemilihan secara mengundi, bukan secara ditunjuk. Dengan ini boleh mengelak dari tersilap tunjuk, kronisme, nepotisme dan lobi melobi,

Berkronologi pemilihan secara mengundi ini pada peringkat pusat juga hendaklah mempunyai Dewan Pusat yang ahli mesyuaratnya dipilih secara mengundi di dalam muktamar dan Dewan Negeri-negeri yang ahli mesyuaratnya terdiri dari ahli-ahli Dewan Pusat, Dewan Negeri-negeri dan Dewan Ulama. Dengan ini suara, cadangan dan buah fikiran negeri tidak terhenti setakat mesyuarat perhubungan negeri, tetapi dapat dibawa melalui Dewan Negeri-negeri. Cara ini lebih tersusun dan lebih demokratik dan suara dari pihak yang serendah-rendahnya dapat sampai ke peringkat tertinggi. Jika cadangan ini difikirkan wajar, sesuai dan lebih demokratik, tetapi bercanggah dengan peruntukan perlembagaan, maka perubahan perlembagaan boleh dicadangkan melalui muktamar setelah usul diangkatkan.

Mempersiapkan Diri

Walau apapun muktamar telah selesai, pimpinan telah dipilih secara mantap. Jika ada sebarang perselisihan dan kerenggangan, maka hendaklah kembali kepada ukhwah Islamiah dengan kembali bersatu dan bertaut di dalam jamaah. Tugas yang terdekat dan perlu diberi perhatian utama kini, ialah memperkemaskan jentera pilihanraya yang bakal dihadapai di dalam masa terdekat ini. Menurut Pengarah Pilihanraya Pas Pusat Datuk Mustapha Ali hingga kini tidak sampai separuh jentera pilihanraya negeri-negeri yang lulus dalam persiapan pilihanraya. Itupun persiapan antara 60-70% sahaja, iaitu negeri-negeri Kelantan, Terengganu, Kedah, Perlis dan Pahang.

Manakala negeri-negeri yang lain di bawah persediaan tersebut atau masih belum bersedia. Jika negeri-negeri belum bersedia, ini bererti pada peringkat kawasan – parlimen dan DUN juga belum bersedia, lebih-lebih lagi bagi negeri-negeri yang masih dianggap belum bersedia. Bagi peringkat Pusat tentulah memikirkan strategi bagi menghadapi pilihanraya bakal dihadapi, mendesak pihak SPR menjalankan pilihanraya secara telus dan adil, memastikan senarai pemilih dibersih dari sebarang penipuan dan perjalanan pilihanraya berjalan secara teratur dan tiada penyelewengan. Kepada pihak pemerintah didesak tidak menggunakan wang rakyat dan kemudahan kerajaan bagi kepentingan parti juga memanipulasi media bagi menjatuhkan lawan secara tidak beretika dan bermoral.

Pihak pimpinan pusat juga, khususnya jentera pilihanraya bersedia dan membuat jangkaan apakah kaedah-kaedah penipuan yang baru akan dilakukan oleh parti pemerintah dan bersedia mendepani dan menentangnya. Bagi pihak negeri juga, khususnya selepas perlantikan Pesuruhjaya masing-masing memastikan persediaan dan penyelarasan pilihanraya pada peringkat negeri berjalan secara teratur. Kursus pilihanraya berjalan secara tersusun dan memastikan segala keperluan pilihanraya disediakan secara sempurna hingga bila diisytiharkan pilihanraya, maka tidak berlaku kelam kabut dan tergesa-gesa. Pihak kawasan juga memastikan jentera JPRK, MTD dan UPU tertubuh dan berjalan dengan baik dan semua gerakkerja pilihanraya tersusun.

Kita berpendapat adalah menjadi hasrat pimpinan yang baru dilantik dari peringkat pusat membawalah kepada peringkat negeri dan kawasan, bahawa tanggungjawab yang diamanahkan kepada mereka melalui pemilihan yang baru dijalankan dapat dilaksanakan sebaik mungkin dan adalah menjadi hasrat semua pihak dan peringkat bahawa antara kejayaan yang dihasrat tercapai ialah memenangi pilihanraya yang akan berlangsung di samping kejayaan-kejayaan yang lain sesuai dengan amanah yang dipertanggungjawabkan. Sekian.

Bangi,

22 Jamadil Awwal 1428 = 08 Jun 2007.

No comments:

Post a Comment