December 31, 2007

Cabaran terhadap ulama

Ulama tidak dipertikaikan lagi dari segi kedudukan, hieraki dan martabat. Allah mengiktiraf ulama sebagaimana firman-Nya bermaksud: Allah mengangkat orang-orang yang beriman dari kalangan kamu dan yang dikurniai ilmu berada pada ketinggian darjat. (al-Mujadalah, 58: 11)

Pengiktirafan diperkukuhkan lagi dengan firman-Nya bermaksud: Sesungguhnya yang takut kepada Allah daripada kalangan hamba-hambanya ialah ulama. (Fatir, 35: 28).

Manakala Rasulullah s.a.w. menegaskan dalam sabda baginda yang diriwayatkan oleh Abu al-Darda bermaksud: Para ulama adalah pewaris nabi-nabi.

Pada hadis lain diriwayatkan oleh Muadh bahawa baginda bersabda bermaksud: Orang alim adalah pemegang amanah Allah Subhanahu wa Taala di muka bumi.

Sesungguhnya induk bagi Islam ialah al-Quran dan Sirah Nabi Muhammad dengan perbuatan, kalam dan pembawaannya merupakan tafsiran terhadap Islam dan para sahabat dengan penuh amanah melanjutkan maklumat dan keilmuan kepada pendukung-pendukung Islam selanjutnya. Sekadar menyebut beberapa dari kalangan mereka seperti Sayidatina Aishah r. anha, Abdullah Ibn Umar, Abdullah Ibn Abbas, Abdullah Ibn Mas`ud r. anhum dan sebagainya.

2. Membina tradisi ilmu

Generasi Tabi`in dan Tabi` al-Tabi`in dan Atba` Tabi` al-Tabi`in menghuraikan Islam dari perspektif keilmuan khusus yang diwarisi oleh generasi-generasi selanjutnya.

Antara mereka seperti Al-Imam Malik dengan karya al-Muwatta` berhubung dengan keilmuan hadith dan juga fiqh, Ash`ari-Maturidi yang berhubung dengan `aqidah, Ibn Kathir dengan bidang tafsir, Ibn Ishak berhubung dengan Sirah al-Nabawiyyah, Al-Muhasibi di dalam bidang tasawwuf terutama dengan kitab pentingnya al-Ri`ayah li Huquqi Allah, Ibn Aqil berhubung dengan nahu, Ibn Rashiq berhubung dengan sastera terutama dengan kitabnya yang berjudul Al-`Umdah.

Asas yang diletakkan oleh tokoh-tokoh `ulama` ini menjadi induk bagi perkembangan ilmu-ilmu berkenaan dan cabang-cabang keilmuan yang berkembang daripadanya.

Termasuklah berbagai-bagai bidang ilmu sains yang ditokohi oleh berbagai-bagai `ulama`, antaranya Al-Kindi, Al-Farabi, Ibn Sina, Ibn Rushd, Al-Biruni, Ibn Maskawayh, Jabir bin Hayyan, al-Khawarizmi, al-Battani, al-Farghani, al-Razi, al-Bitruji, al-Zarqali, al-Ghazali dan sebagainya.

Para ulama juga mengarang karya-karya yang berhubung dengan siasah dan pentadbiran seperti Al-Farabi dengan bukunya yang berjudul al-Madinah al-Fadhilah, Al-Mawardi dengan bukunya Al-Ahkam al-Sultaniyyah, Al-Tha`alabi dengan Adab al-Muluk, al-Ghazali dengan Nasihat al-Muluk dan Ibn Khaldun dengan Al-Muqaddimah. Hasilnya Islam bangkit sebagai sebuah tamadun yang menjunjung ilmu pengetahuan. Semuanya menjadi panduan dan pegangan umat Islam dan tamadun ini turut dimanfaat oleh mereka yang bukan Islam.

3. Mengembara demi dakwah

Kalangan ulama tidak saja mengajar dan menghasilkan kitab-kitab keilmuan, tetapi antara mereka turut menghadapi cabaran, setengah daripada mereka menghadapi fitnah dan tekanan seperti yang dihadapi misalnya oleh Imam Abu Hanifah, Ahmad bin Hanbal, Ibn `Arabi dan Al-Hallaj.

Sesetengah mereka mengambil risiko mengembara bagi mengembangkan agama Islam dan keilmuan. Alam Melayu dikunjungi ulama-pengembara bagi mengembangkan ilmu pengetahuan seperti Syeikh Ismail, Syeikh Abdul Aziz, Syeikh Abul Khair, Syeikh Abu Ishaq, Syeikh Nuruddin al-Raniri dan Syeikh Sharif Muhammad al-Baghdadi. Melalui dakwah yang dibawa mereka atau yang seumpama mereka kita di alam Melayu, khususnya di Semenanjung Tanah Melayu menerima nikmat agama Islam.

4. Perkembangan ilmu tempatan

Di Alam Melayu Islam berkembang atas daya usaha `ulama` membangunkan institusi keilmuan Islam di pusat-pusat keilmuan setempat mengajar, memperkenalkan tulisan jawi sebagaimana bukti terawal terdapat pada Batu Bersurat di Hulu Terengganu (1312M.) dan mengarang kitab-kitab bagi perkembangan keilmuan yang sekali gus memperkembang dan meningkatkan martabat bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu.

Tempat-tempat yang menjadi pusat perkembangan Islam ialah seperti Pasai dengan tokoh seperti Makhdum Patakan, Melaka seperti Kadhi Munawir, Terengganu dengan tokoh seperti Abdul Malik bin Abdullah, Aceh seperti Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri dan Syeikh Abdul Rauf Singkel, Banjar seperti Muhammad Arshad al-Banjari, Patani seperti Syeikh Daud al-Fatani, Syeikh Zainal Abidin al-Fatani, Syeikh Nik Mat , di Palimbang Syeikh Abdul Samad al-Falimbani, di Johor seperti Raja Ali Haji dan Tun Seri Lanang, Kedah seperti Tuan Hussein Kedah, manakala dari Kelantan seperti Tuan Tabal dan Tuan Ali Kotan dan sebagainya.

Ulama ini mengarang kitab-kitab, membuka institusi pendidikan dan mengajar keilmuan Islam. Ulama` tidak saja sebagai pendakwah, pengarang dan pembuka institusi pendidikan agama, tetapi juga sebagai penasihat dan pemandu di dalam bidang politik dan pentadbiran. Jika di dalam tradisi peradaban Islam lahirnya penulis di dalam bidang politik dan pentadbiran seperti al-Farabi, al-Mawardi, al-Tha`alabi, al-Ghazali dan Ibn Khaldun, maka di dalam peradaban Melayu-Islam lahir ulama`-pengarang di dalam bidang politik dan pentadbiran.

Mereka seperti Bukhari al-Jauhari dengan karyanya berjudul Tajul-Salatin, Nuruddin al-Raniri dengan karyanya yang berjudul Bustanul-Salatin, Tun Seri Lanang dengan karyanya Sulalatul-Salatin (Sejarah Melayu), Raja Ali Haji dengan karyanya Tuhfat al-Nafis dan Syeikh Abdul Qadir Patani (?) dengan karya Kitab Nasihat Segala Raja-Raja (Milik Sultan Zainal Abidin III Terengganu).

Tokoh-tokoh `ulama`, pengarang, pendidik dan pembimbing politik dan pentadbiran ini adalah merupakan mujahid yang menyebarkan Islam dan menjadikan rantau alam Melayu sebagai rantau Islam dan kini merupakan kawasan yang paling ramai umat Islam di dunia. Semangat dan jihad serta dakwah mereka ini patut menjadi tauladan dan ikutan bagi para ulama`.

5. Ulama benteng menentang penjajahan

Apabila penjajah tiba dan ingin menguasai politik dan ekonomi Negara-negara Alam Melayu-Islam, tokoh-tokoh ulama dan pengikut-pengikut mereka merupakan benteng Islam dan pejuang-pejuang yang mempertahankan Islam. Lantaran itu kita dapati Syeikh Daud Fatani dan keluarganya selepas berjihad, terpaksa berpindah ke Makkah setelah tidak dapat mempertahankan Patani dari serangan Siam, Syeikh Abdul Samad Palimbang syahid di Senggora kerana mau membebaskan negeri-negeri Melayu Islam di Selatan Siam.

Ulama-ulama Indonesia seperti Imam Bonjol berperang (Perang Paderi) dengan Belanda mempertahankan Islam. Fatahillah yang menyebarkan Islam di Jawa mempertahankan negaranya dari di kuasai penjajah, di Terengganu tokoh `ulama` seperti Haji Abdul Rahman Limbong dan pengikut-pengikutnya memberontak menentang kemasukan British di Terengganu, manakala di Kelantan Tok Janggut menganjur pemberontakan di Pasir Putih Kelantan menentang kemasukan British di Kelantan dan tokoh-tokoh seperti Tok Gajah, Tok Bahaman, Mat Kilau menentang penjajah British yang mulai masuk menguasai Pahang.

Penjajah mendapat tentangan dari anak tempatan atas dasar cintakan agama dan kasihkan Negara. Ada dua pendekatan yang diambil penjajah. Pertama secara kekerasan sebagaimana dilakukan oleh Sepanyol di Filipina yang memaksakan penduduk yang telah Islam di sana menerima Kristian, walaubagaimana penduduk Islam terus-terusan menentang penjajah Sepanyol hingga kepada pemerintah kini di Selatan Filipina, khususnya di kepulauan Mindanao.

Manakala pihak British di Malaya, mengambil sikap berlembut dengan tidak menyentuh agama Islam yang dianuti penduduk di Malaya. Mereka menguasai politik dan Ekonomi, tetapi membiarkan agama, tanpa memberi perhatian untuk meningkatkannya dan tidak diberi nilai ekonomi. Lantaran itu pendidikan keislaman ketinggalan.

6. Ulama dan perjuangan kemerdekaan

Dalam perjuangan kemerdekaan tanahair para ulama adalah kalangan yang terawal mencetus perjuangan kemerdekaan seperti Haji Abdul Rahman Limbong, Tok Janggut, Tok Gajah, Tok Bahaman, Mat Kilau. Mereka diikuti oleh tokoh-tokoh seperti Tuan Guru Haji Sulong Patani, Syed Abdul Rahman (Tuan Paloh) Terengganu, Syeikh Tahir Jalaluddin, Syed Syeikh al-Hadi membawalah kepada Abu Bakar al-Baqir Gunung Semanggol, Haji Muhammad Fuad, Dr. Abbas, Dr. Burhanuddin Hilmi dan Profesor Zulkifli Muhammad.

Ironinya, bahawa pejuang-pejuang Islam yang mempelopori perjuangan kemerdekaan, bukanlah mereka yang dapat menikmati kepimpinan dan hasil kemerdekaan. Mereka disisihkan, sebagaimana Islam itu sendiri disisihkan dari mendapat pembelaan dan pembiyayaan dari segi pendidikan dan tiada peluang dari segi ekonomi.

Sebaliknya perjuangan kemerdekaan diambil alih pihak nasionalis. Apabila perjuangan dicapai melalui nasionalis di Malaysia yang terdapat di dalamnya sedikit elemen keagamaan, tetapi lebih dipinggirkan menjadikan pihak yang memperjuangkan Islam seperti di Malaysia, tidak senang dengan peminggiran dan membawa kepada tertubuhnya Parti Islam Setanah Melayu (PAS) pada tahun 1951.

7. PAS dan ulama

Dewan Ulama PAS adalah Dewan tertinggi dalam parti (Fasal 37) yang dewan ini baik peringkat Pusat maupun pada peringkat negeri antaranya bertujuan menjalankan usaha menyatukan tenaga dan pemikiran `ulama bagi memperkuat dan mempertingkatkan perjuangan Islam serta menyusun dan menjalankan kegiatan tarbiah dan pendidikan di kalangan ahli-ahli Pas dan mengatur program latihan kepimpinan bagi membentuk petugas-petugas parti yang berilmu, beriman, bertaqwa, berpengalaman dan memahami perkembangan semasa.(Fasal 43 (f)(i & ii).

Dewan Ulama adalah pemandu parti yang bertanggungjawab memperkukuhkan dalaman parti dan memperkasakannya dengan nilai-nilai keislaman. Dewan Ulama juga memandu dan menunjukkan arah berhubung dengan interaksi parti dengan pihak luaran seperti mengenai tahaluf siyasi kerjasama Pas dengan parti yang bukan PAS atau ahli PAS dengan yang bukan Islam dan sebagainya. Pada dasarnya arah yang dipandu oleh `ulama` berjaya menegakkan ahli parti beridentitikan Islam, mempunyai watak dan pembawaan yang berbeza dari ahli-ahli parti yang lain.

8. Cabaran luaran

Cabaran yang sukar dihadapi oleh Pas, juga ulama, ialah sedang Pas meletakkan tujuan Pas (Fasal 5), ialah (i) bagi memperjuangkan wujudnya di dalam Negara ini sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya nilai-nilai hidup Islam dan hukum-hukumnya menuju keredhaan Allah dan (ii) mempertahankan kesucian Islam serta kemerdekaan dan kedaulatan Negara sedangkan pemerintahan negara bergerak daripada Nasionalisme + Agama kepada Liberalisme.

Nasionalisme adalah faham yang timbul pada pertengahan abad ke 19 akibat dari revolusi Perancis dan penguasaannya terhadap negeri-negeri di Eropah yang bangkit menentang Perancis seperti Jerman dan Itali atas platform nasionalis bagi mencapai kemerdekaan. Bagi Negara-negara Islam yang mengambil pendekatan nasionalisme seperti di Mesir (1919), Afghanistan (1919) seterusnya merebak ke Indonesia (1945) termasuk di Malaya (1946) menjadikan platform perjuangan adalah atas faham nasionalisme dan menjadikan keagamaan yang didukung sebagai force perjuangan yang menjadikannya lebih kental kerana berjuang menghalau penjajah, lantaran mereka adalah `kafir` dan `penjajah`.

Tetapi penyatuan antara Nasionalisme + Agama bukan sesuatu yang asli dan sesuai, sebab itu mudah luntur dan terpisah apabila nasionalisme itu cair dan penyatuan dengan keagamaan menjadi longgar. Kelonggaran nampak berlaku di dalam politik di Mesir, Indonesia bahkan Malaysia.

Nasionalisme di Malaysia dipertahankan di dalam politik atas nama kaum seperti Umno bagi orang Melayu, MCA bagi orang Cina dan MIC bagi orang India yang selalu menimbulkan konflik dalaman bagi mempertahankan kepentingan kaum dalam ikatan parti itu.

Bagi Umno mempertahankan Islam sebagai tugas warisan, bukan sebagai dasar perjuangan, bahkan atas dasar desakan dan kehendak orang Melayu, khususnya dari parti yang memperjuangkan Islam seperti PAS. Sebagai contoh kerajaan terpaksa turut meneruskan pendidikan agama di sekolah-sekolah agama dan menjadikannya sebahagian dari kurikulum pendidikan pada peringkat sekolah hingga ke peringkat pengajian tinggi, atas kehendak masyarakat, tetapi tanpa komitmen sepenuhnya.

9. Menipisnya Nasionalisme

Mendepani arus perkembangan semasa yang berorientasikan ekonomi dan kemajuan dan mendepani globalisasi dan dunia tanpa sempadan, nasionalisme yang tanpa ideologi itu semakin terhakis dan menipis. Malaysia memilih pengkoporatan dan penswastaan yang menjadikan Dasar Ekonomi Baru dilemma dan semi gagal, sebenarnya mau tidak mau nasionalisme menipis dan bergerak ke arah falsafah dan ideologi yang lebih munasabah baginya samada sosialis, conservative, anarchisme dan sebagainya.

Tetapi yang paling logik bagi pergerakan politik nasionalisme di Malaysia, khususnya Umno ialah bergerak ke arah Liberalisme demokrasi. Arah inilah pergerakan politik dominan di Malaysia yang secara langsung mencabar PAS, khususnya ulama`. Liberal mengarah kepada `social attitudes` yang bermaksud `keterbukaan fikiran dan pendapat`, memberi hak individu, memberi kebebasan, lebih berpandukan reason, keadilan dan toleransi dan kepelbagaian (Heywood, A., Political Ideologies, 2005: 28).

10. Kesan

Liberalisme yang bergerak dari nasionalis memberi kesan termasuk kepada orang Melayu dan dasar negara sendiri sebagai contohnya pengabaian terhadap Bahasa Melayu yang sebelum itu perjuangan bahasa adalah menjadi teras perjuangan nasionalisme Melayu.

Tetapi kini perjuangan bahasa ini telah longlai, terabai dan terpinggir. Kesan liberalisme ini juga berlaku terhadap Dasar Pelajaran Kebangsaan yang kini mewajibkan penggunaan bahasa Inggreis bagi pelajaran matematik dan Sains yang melemahkan Dasar Pelajaran dan Bahasa Melayu. Selain dari itu ianya memberi kesan ke arah meliberalkan agama, memisahkannya dari urusan keduniaan, mengagungkan kebebasan pergaulan yang menimbulkan krisis moral terutama di kalangan muda muda.

11. Kesan liberalisme terhadap Islam

Kesan Liberalisme yang mencabar PAS, antaranya kebimbangan UMNO bahawa dengan tumpuan kepada Islam akan memperkuatkan lawan dari PAS yang berprinsipkan Islam, maka berlaku manipulasi terhadap Islam, Pada zaman pemerintahan Dr Mahathir yang sering memandang sinis terhadap PAS dan mau mematikan visi Pas yang mau pemerintahan Negara berdasrkan Islam telah mengisytiharkan Malaysia sebagai Negara Islam.

Ia bertujuan mematikan perjuangan PAS, walaupun mereka tahu dari segi perlembagaan dan praktiknya Negara ini adalah Negara sekular. Ini berikutan dari dasar `Menerapkan Nilai-Nilai Islam` dan kini `Islam Hadhari` pada era Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Badawi. Pendekatan ini mencelarukan penganut Islam dan menghalang perkembangan Islam sebenarnya.

Kesan liberalisme dari segi perundangan yang menjadi cabaran dan seharusnya diberi tumpuan oleh Ulama` ialah pertembungan antara perundangan civil dan pengasingan undang-undang Syariah 1988. dan permintaan supaya menghormati (Article 121(1A) dan pertembungan antara kedua-duanya (Respecting the Constitution, The Star, 3 May, 2007: N51).

12. Pertembungan antara perundangan syariah dan sivil

Kesan liberalisme terhadap Islam antaranya timbulnya isu-isu pertembungan perundangan sivil dan syariah seperti permohonan Lina Joy menuntut agar ditiadakan identiti Islamnya dalam kad pengenalannya. Nama Islamnya Azlina Jailani. Perebutan jenazah seorang muallaf M.Moorthy yang meninggal antara Jabatan Agama dengan bekas isteri si mati M. Kaliammal yang bukan Muslim, kes ini masih pada peringkat appeal oleh bekas isteri M.Moorthy, arahan menyerahkan anak-anak di bawah umur kepada suami yang bukan Islam apabila isterinya menganut Islam -Kes Raimah Bibi Noordin yang menganut Islam dengan bekas suami Hindu P. Marimuthu dan 6 orang anaknya (NST, May 3, 2007: 6), masalah nafkah isteri yang tidak Islam menjaga anak-anak apabila suaminya masuk Islam dan melarang suami dari membawa anaknya sama ke dalam Islam (NST, March 31, 2007: 9), bantahan yang bukan Islam terhadap kes yang ada hubungan dengan mahkamah Syariah yang meminta mereka ke mahkamah Syariah (The Sun, Mach 29, 2007: 5).

13. Masalah Moral

Dari segi yang lain pula umat Islam, khususnya ulama` berdepan dengan Masalah `Policing Moral` yang menegah penguatkuasa pejabat agama membuat serbuan terhadap pesalah moral kecuali mendapat kebenaran polis dan mesti disertai pegawai polis senior (the Sun March 25, 2005: 1), bahkan menganggap sebagai tidak wajar pegawai-pegawai agama mengintai, apalagi membuat serbuan terhadap kes-kes khalwat, kerana kononnya Islam tidak menggalakkan melihat orang melakukan dosa (NST, Disember 15, 2006: 11).

Anehnya larangan di atas mendapat sokongan beberapa Menteri dan ahli parlimen muslim. Mereka menyokong memorandum 58 NGOs dan 249 individu membantah `polising moral` yang berkait dengan serbuan oleh JAIS di sebuah kelab di Damansara pada Januari 2005 itu.

Soal hiburan melampau juga melibatkan masalah moral seperti cadangan membuka tempat hiburan hingga jam 5.00 pagi bagi menarik pelancong (BH, 6 Julai 2006: 11), hiburan yang dianggap melampau melalui media letronik hingga pihak JAKIM mengeluarkan garis panduan hiburan, tetapi dibantah oleh Dr. Rais Yatim dari KEKKWA, menyebabkan syor JAKIM itu ditangguhkan (BH: 28 Mei, 2005: 1).

14. Menyentuh kesucian Islam

Persoalan yang lebih serius dan mencabar yang dihadapi Islam dan ulama, ialah tuduhan yang melabelkan Islam sebagai agama ganas. Ianya merupakan konspirasi teratur dipelopori Amerika bagi merosakkan image dan reputasi Islam.

Begitu juga tuntutan yang maukan Islam tertakluk di bawah Interfaith Religious Commission (IRC) dan mendapat bantahan kuat dari kalangan umat Islam. Tetapi mendapat sokongan 10 menteri. Perkara ini dibangkit di parlimen (The Sun March 26-27, 2006:8) dan dijawab oleh Datuk Seri Abdullah yang mengalu-ngalukan penubuhan IRC dengan syarat tidak menyentuh kesucian Islam. Hingga kini perkara ini ditangguh dan digantungkan.

Cabaran yang mendepani ulama termasuklah Persoalan Hak dan Kebebasan Wanita yang selalu dikemukakan oleh Sisters In Islam, Persoalan berhubung dengan Hak dan Kebebasan memilih agama. Desakan yang pernah dikemukakan oleh Lim Keng Yaik yang kemudian ditarik balik agar pengajaran matapelajaran agama dipisahkan dari sekolah kebangsaan (NST, May 2, 2005: 2) Persoalan kongsi raya yang dibimbangi boleh merosakkan akidah (BH, 14 Jun 2006: 7).

Beberapa pandangan terbaru yang menjadi tanda tanya umat Islam berhubung dengan pendapat Mufti Perlis Dr. Mohd. Asri bin Zainal Abidin bahawa tidak wajar diintip mereka yang berkhalwat, kerana kononnya orang Islam tidak digalakkan melihat orang yang melakukan dosa (NST, 15 Disember, 2006: 1).

Beberapa pandangan beliau yang lain, bahawa orang bukan Islam yang menganut Islam tidak perlu menukarkan nama asal kepada nama baru yang lebih sesuai dengan Islam dan harus menjawab salam dari yang bukan Islam (The Star 4 May, 2007: N6). `Ulama` juga seharusnya memberi respons terhadap cadangan agar diadakan dialog peradaban antara agama yang diharap lebih memberi kefahaman terhadap masyarakat dan menghormati agama.

Ulama adalah pembimbing dan bukan tunduk kepada kehendak institusi tertentu hingga sanggup mengubah identiti ulama kerana tunduk pada kehendak institusi berkenaan demi publisiti.

Pendeknya `ulama` sebagai pemandu dan penunjuk arah, harus memberi respond dan pandangan terutama berhubung isu umat Islam semasa misalnya persoalan ekonomi Islam dan bank Islam yang mendapat dokongan bukan saja dari orang Islam, tetapi juga bukan Islam.

Perjalanan organisasi yang melibatkan umat Islam seperti OIC. `Ulama` wajar memberi pandangan persoalan antarabangsa misalnya penguasaan Amerika di Iraq, konflik antara puak Sunni dan Syiah dan cara penyelesaian yang wajar bagi umat Islam Iraq.

`Ulama` perlu mengeluarkan pendapat berhubung dengan kehadiran Amerika dan kewajaran Nato di Afghanistan, tekanan Amerika terhadap Iran berhubung dengan isu nuklier dan cadangan-cadangan yang patut diambil.

Pandangan-pandangan patut diberi berhubung dengan pergolokan di Dhafur, kemasukan tentera Habshah ke Erietria dan pergolakan di Sudan. Pandangan juga perlu datang dari ulama berhubung dengan konflik di Selatan Thailand dan Filipina dan kekecohan politik di Bangladesh. Setakat ini respond ketara dari Pas dan ulama ialah mengenai keganasan Israel di Palestin dan konflik Israel-Lubnan pada pertengahan tahun 2006.

15. Penutup

Ulama seharusnya bukan saja mampu membicara dan menyelesaikan masalah dalaman, tetapi juga cabaran yang dihadapi umat. Bagi PAS dan `ulama` hendaklah meletakkan dirinya sebagai sebuah kerajaan, walaupun tidak memerintah, ulama sebagai pembimbing harus menjadi pembimbing dan jurucakap parti, memahami segala persoalan yang dihadapi, mampu memperkatakannya dan kalau boleh menyelesaikan persoalan negara dan antarabangsa hingga PAS diyakini berkemampuan oleh masyarakat.

Ulama sebagai pembimbing dan terlibat dengan kegiatan keilmuan, maka Ulama juga sewajarnya dari masa ke masa hendaklah lebih banyak menerbitkan buku bersifat ilmiah bagi panduan ahli dan umat, juga menerbitkan risalah mengenai permasalahan umat Islam, isu-isu semasa dan pandangan mengenai isu-isu khusus. Dengan ini visi dan misi ulama dapat diikuti dan dihayati dengan jelas, ini sesuai dengan kedudukan dan wibawa ulama sebagai `Warathatul Anbiya``pemandu dan pembimbing umat. Sekian. - lanh

*Disesuaikan dari ucapan pembukaan Mesyuarat Agung Dewan Ulama Selangor di Sungai Besar Selangor pada 18 R. Akhir 1428 bersamaan 6 Mei 2007.

Bangi
12 Jamadil Awal 1428, 29 Mei 2007

No comments:

Post a Comment